Perunding Pediatrik dan Pakar Laktasi Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak Johor Bahru berkata, penyakit kuning atau jaundis neonatal biasanya menyerang bayi pada minggu pertama kelahirannya.
Menurutnya, ini disebabkan sel darah merah bayi yang mengandungi fetal hemoglobin (HbF) mengalami pemecahan secara semula jadi iaitu hemolisis. Pemecahan ini mengeluarkan pigmen berwarna kuning yang dipanggil bilirubin.
Katanya, HbF dihasilkan dan diperlukan bayi ketika dalam kandungan ibu. Selepas dilahirkan HbF tidak lagi diperlukan dan diganti dengan hemoglobin A (HbA) atau hemoglobin dewasa yang berfungsi membawa dan melepaskan oksigen dengan lebih baik berbanding HbF.
“HbF yang asalnya daripada kandungan ibu ini perlu dipecahkan, jadi ke mana proses atau pemecahan ini berlaku? Proses ini dipanggil metabolisme bilirubin.
“Proses metabolisme bilirubin seterusnya berlaku dalam hati dan disimpan sebagai garam hempedu di dalam pundi hempedu lalu dibuang melalui najis.” Katanya di dalam petikan harian metro.
Apabila bayi kurang menyusu maka kurang lemak yang masuk dalam badannya. Akhirnya bilirubin tidak dapat dibuang melalui najis dan menyebabkan jaundis bertambah teruk.